
Meskipun demikian, Haji Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan. Kerjaya awal tokoh lepasan Makkah ini dalam perkhidmatan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bermula pada 1 Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami’ Merbau al-Ismaili dengan gaji permulaan $47.50 sebulan. Selanjutnya, beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (10 April 1940 hingga 8 Februari 1947). Selain daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).
Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tok-tok khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks Arab sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbah tanpa teks di tangan. Kepetahan beliau menyampaikan khutbahnya secara spontan, dalam bahasa ibunda pula, terbukti sangat berkesan. Walaupun khutbahnya agak panjang, tetapi ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan bahasa “segar”, bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sidang hadirin tidak jemu atau mengantuk. Beliau bukan sahaja popular di kalangan ahli jemaah dan anak-anak muridnya, malah sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggalah dilantik menjadi guru agama merangkap Imam di Istana baginda.
Khatib panutan ini meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 19 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labok, Machang – kampung asalnya.
Satu-satunya pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka iaitu sebuah karya “bunga rampai”.