Mulakan Dengan Bismillah

Wednesday, April 21, 2010

HAJI ISMAIL PONTIANAK (1882 – 1950)

Haji Ismail Pontianak (1882-1950)Tokoh ulama’ perantau. ‘Khatib Masjib Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular. Lahir sezaman dengan Mufti Haji Idris , Dato’ Perdana Haji Nik Mahmud, Tok Seridik dan Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani. Nama penuhnya ialah Haji Ismail bin Abdul Majid, tetapi lebih dikenali dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat), bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak – berkhidmat selama suku abad (1910 – 1935).
Meskipun demikian, Haji Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan. Kerjaya awal tokoh lepasan Makkah ini dalam perkhidmatan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bermula pada 1 Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami’ Merbau al-Ismaili dengan gaji permulaan $47.50 sebulan. Selanjutnya, beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (10 April 1940 hingga 8 Februari 1947). Selain daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).
Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tok-tok khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks Arab sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbah tanpa teks di tangan. Kepetahan beliau menyampaikan khutbahnya secara spontan, dalam bahasa ibunda pula, terbukti sangat berkesan. Walaupun khutbahnya agak panjang, tetapi ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan bahasa “segar”, bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sidang hadirin tidak jemu atau mengantuk. Beliau bukan sahaja popular di kalangan ahli jemaah dan anak-anak muridnya, malah sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggalah dilantik menjadi guru agama merangkap Imam di Istana baginda.
Khatib panutan ini meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 19 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labok, Machang – kampung asalnya.
Satu-satunya pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka iaitu sebuah karya “bunga rampai”.






Friday, April 16, 2010

HAJI ABDUL MALEK SUNGAI PINANG (1834 – 1934)














Tokoh guru pondok akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan dengan Tok Mesir, Tok Ayah Kerasak, Haji Nik Mat Dagu dan Haji Ismail Pengkalan Paung. Rakan akrab Haji Abdul Latif Jalaluddin (Bilal Masjid Kayu Kota Bharu).


Nama penuhnya ialah Haji Abdul Malek bin Hasan. Lahir di Kg. Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari kalangan keluarga yang sangat miskin. Menuntut ilmu di Patani dan kota suci Makkah selama 14 tahun. Beliau masyhur alim Quran dan kitab Jawi.

Selain mengajar al-Quran dan kitab Jawi beliau banyak terlibat dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja kubur serta amalan ilmu sihir.

Di peringkat negeri pula, beliau turut tersenarai dalam panel ulama yang dijadikan pakar rujuk oleh Sultan Mansor Ibn Sultan Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukuman hudud kepada pencuri dan pembunuh (diarak keliling pekan), hukuman ta’zir kepada orang yang tidak berpuasa dan tidak menutup aurat (dilumur belaking).

Kebanyakan murid-muris Tuan Guru Haji Abdul Malek diberkati Allah dengan ilmu mereka serta berjaya melahirkan barisan pendidik pelapis pada zaman masing-masing. Antara murid-murid kenamaannya : Tok Jerulong @ Haji Mohd. Said Muhammad, Haji Samat Hasan Padang Chenok, Haji Che Mat Taib Pasir Pekan Hilir, Haji Ismail Musa Temangan, Haji Wan Abdullah Kg. Chap/Sungai Pinang, Wak Haji Khatib Ahmad Bemban/Binjai, Tok Kedah @ Haji Idris Penggawa Kangkong, Haji Mahmud Ali (Imam Kangkong), Haji Daud Saamah (bapa kepada Tuan Guru Haji Saad Kangkong), Haji Mohd. Akib Ismail Kg. Kelar, Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang. Tuan Guru Haji Abdullah Senik (pengasas Pondok Padang di Pasir Mas), Tuan Guru Haji Wan Ahmad Abdul Halim (pengasas Pondok Padang Jelapang), Tuan Guru Haji Abdul Rahman Osman (pengasas Pondok Selehong), Tuan Guru Haji Yusoff Abdul Rahman (pengasas Pondok Pulau Ubi), Haji Ibrahim Tok Raja (Mufti Kerajaan Kelantan) dan Haji Seman Sering (kemudian lebih terkenal dengan nama Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani).

Datuk kepada Dato’ Dr. Nik Safiah Karim (Profesor Adjung di Universiti Malaya) ini kembali ke rahmatullah di Sungai Pinang pada malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan 18 Disember 1934.

Wednesday, April 7, 2010

HAJI YAAKUB LORONG GAJAH MATI (1895 – 1956)




Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku kedua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Mat Jebeng, Haji Ahmad Batu Tiga Repek dll.
Nama lengkap tokoh ulama yang berkediaman di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu ini ialah Haji Yaakub bin Haji Ahmad.
Kerjaya awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922, dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis) dengan gaji permulaan $20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat ke $28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami’ Merbau al-Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah $34 dan beliau kekal berkhidmat di situ sehingga 1945.
Antara murid-murid harapannya tersenarailah nama-nama seperti Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato’ Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed Hasan Lemal, Tuan Guru Hj. Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd. Saghir Kg. Baru, Pasir Pekan, Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman, Hutan Palas, Bukit Keplu, Kodiang (Kedah).
Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama MAIK (seawal 1932) beberapa penggal.
Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadith di Kelantan.
Tuan Guru Haji Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu 6 Jamadilawal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan, antara lain, tiga orang putera yang dikenali ramai :-
• Dato’ Haji Che Husain (ahli perniagaan) – pewakaf Masjid al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu;
• Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu);
Ustaz Yusoff Zaky @ Dato’ Sri Setia Raja (pengarang
terkemuka, pengasas Pustaka Dian, Kota Bharu).